<body><script type="text/javascript"> function setAttributeOnload(object, attribute, val) { if(window.addEventListener) { window.addEventListener('load', function(){ object[attribute] = val; }, false); } else { window.attachEvent('onload', function(){ object[attribute] = val; }); } } </script> <div id="navbar-iframe-container"></div> <script type="text/javascript" src="https://apis.google.com/js/platform.js"></script> <script type="text/javascript"> gapi.load("gapi.iframes:gapi.iframes.style.bubble", function() { if (gapi.iframes && gapi.iframes.getContext) { gapi.iframes.getContext().openChild({ url: 'https://www.blogger.com/navbar.g?targetBlogID\x3d8212730082893941202\x26blogName\x3dbpghs+mcs+2009\x26publishMode\x3dPUBLISH_MODE_BLOGSPOT\x26navbarType\x3dBLACK\x26layoutType\x3dCLASSIC\x26searchRoot\x3dhttps://nadiah-hussin.blogspot.com/search\x26blogLocale\x3den_US\x26v\x3d2\x26homepageUrl\x3dhttp://nadiah-hussin.blogspot.com/\x26vt\x3d589922684148642534', where: document.getElementById("navbar-iframe-container"), id: "navbar-iframe" }); } }); </script>

The world is like a playground.


{Holla}
puteri nadiah hussin
4p1
bukit panjang govt high sch
19.11.93
de.little@hotmail.com

{Say}



February 8, 2009
Kejayaan
Kejayaan seseorang itu bukanlah didasarkan atas usaha sahaja. Bukalah mata dan lihat di sekeliling anda. Berapa ramai orang yang dapat anda lihat sedang menjalani hidup senang, membawa kereta mewah, tinggal di rumah besar dan berjawatan tinggi? Hebat bukan? Anda cemburu? Mengapa? Anda juga mahu hidup senang? Untuk pengetahuan anda, kejayaan itu bukanlah sesuatu yang mudah diraih. Kejayaan perlukan kerja keras.

Apa itu kerja keras? Seandainya anda mempunyai kerja sekolah tetapi anda malas hendak menyudahkannya. Adakah itu kerja keras? Tentu sekali tidak. Kerja keras memerlukan tenaga dan semangat seseorang untuk menyelesaikan sebuah tugasan. Dengan tidak menghabiskan kerja sekolah, tugasan anda akan bertambah setiap hari hinggakan anda mungkin tidak mempunyai cukup masa untuk menghabiskan kesemuanya pada masa yang ditetapkan.

Bak kata pepatah “Sedikit demi sedikit, lama-lama jadi bukit” dan “Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian”. Kejayaan bukan sahaja perlukan tenaga dan kerja keras, ia memerlukan juga ikhtiar, keyakinan, disiplin dan pengorbanan. Izinkan saya membawa para pembaca meninjau dengan lebih mendalam lagi fakta-fakta untuk meraih kejayaan.

Tanpa ikhtiar, adakah anda pasti anda boleh berjaya? Adakah anda berdaya untuk melakukan apa sahaja untuk menjejak di tangga kejayaan? Jika tidak, kemungkinannya anda akan terhambat dalam perjalanan mencapai kejayaan. Jika anda berikhtiar untuk melakukan apa sahaja, cabaran atau dugaan hidup tidak mungkin dapat menghalang anda daripada membesar dan berjaya.

Ingatkah anda pada masa anda baru belajar bertutur? Pastinya tidak. Cuba tanyakan kepada ibu bapa anda. Apakah perkataan pertama yang anda tuturkan? Bayangkan. Betapa susahnya ibu bapa anda ingin mengajar anda bertutur. Bukan senang kerja sebegini. Ibu bapa anda telah berikhtiar untuk menjadikan anda anak yang pintar. Jika mereka telah putus asa pada masa itu, anda mungkin tidak begitu matang dalam cara pertuturan anda hingga sekarang.

Keyakinan diri adalah datu lagi fakta untuk menggenggam api kemaraan. Anda harus mempunyai keyakinan diri untuk menghadapi dugaan. Apabila anda sudah yakin, besar kemungkinan anda akan tabah menghadapi sebarang cabaran. Keyakinan diri juga dapat mendorong anda untuk melakukan sesuatu yang tidak pernah dicuba.

Anak-anak kecil mula berjalan biasanya pada usia sebelas bulan. Bayangkan. Jika ibu bapa mereka tidak yakin anak mereka dapat berjalan dan enggan melakukan apa-apa untuk mengubah pemikiran sebegitu, anak mereka tidak mungkin berjaya menjejak bumi hingga lebih kurang enam bulan kemidian. Hal ini adalah satu kenyataan. Yakin pada diri anda. Insya-Allah, anda akan dapat menghadapi sebarang cubaan.

Apabila melakukan sebarang tugasan, anda seharusnya berdisiplin. Misalnya, apabila anda membuat kerja sekolah, anda harus pintar membahagikan masa untuk menyudahkan kerja sekolah itu, mengulangkaji pelajaran dan juga masa bersama keluarga. Bukan iu sahaja. Sesudah membahagikan masa anda, anda harus mengikut jadual itu dengan cekap. Jangan sesekali mengabaikan jadual anda dan sekaligus bersuka ria.

Dengan menunjukkan tahap disiplin yang mengkagumkan, anda dapat mempelajari kesilapan anda. Anda berpeluang memperbaiki kesilapan itu dan tidak mengulanginya sekali lagi pada masa akan datang. Anda dapat mengubah jalan hidup anda menuju ke arah yang lurus.

Akhir sekali, anda perlu redha dan sedia untuk berkorban. Bukanlah berkorban nyawa yang dimaksudkan. Anda harus bersedia mengorbankan masa anda bersantai untuk belajar atau membuat sesuatu yang lebih berfaedah. Anda mungkin boleh menggantikan dua jam masa untuk bermain komputer kepada masa untuk berbual-bual sesama anggota keluarga.

Pada masa kini, para anggota keluarga asyik sibuk dengan kerja mereka sendiri. Tidak kira di pejabat, di sekolah ataupun di rumah. Mereka akan melakukan kerja sendiri. Hal ini harus diubah. Para anggota keluarga harus meluangkan masa bersama untuk mengeratkan lagi tali perhubungan mereka. Di sini, ibu bapa akan dapat mengenalpasti sebarang masalah yang dihadapi anak-anak mereka.

Apakah tahap kejayaan. Adakah belajar daripada kesilapan itu satu kejayaan?Adakah mendapatkan markah cemerlang untuk peperiksaan itu satu kejayaan? Jawapannya adalah benar. Kesemua ini dikirakan sebagai satu kejayaan. Selagi anda dapat melakukan sesuatu perkara, anda sudah berjaya kerana anda diberi peluang untuk meneruskan kehidupan anda.

Siapa yang akan mendapat keuntungan jika anda berjaya? Tentu sekali anda yang akan mendapatkan keuntungan sepenuhnya. Teman-teman dan anggota keluarga anda juga dapat merasakan kepuasan hati. Mereka juga dapat mengongsi kejayaan anda bersama teman-teman mereka yang lain dan menjadikan ia sebagai sebuah inspirasi.

Apa akan berlaku jika anda gagal? Jangan berputus asa. Jangan kecewa. Jangan terus mengaku kalah. Cuba lagi. Sehingga berjaya. Anda harus menyediakan sebuah alternatif sekiranya pencubaan anda yang pertama tidak menjadi.

Justeru, usaha itu bukanlah fakta tunggal untuk meraih kejayaan. Walau bagaimanapun, ia tidak bermaksud usaha tidak penting. Asalkan anda sudah menentukan minda anda untuk bekerja bersungguh-sungguh, anda akan berjaya walau apapun keputusannya.




Cipta Jaya
Hanya tinggal setahun lagi untuk saya bersiap sedia menghadapi sesuatu yang akan menentukan masa depanku. Saya harus menduduki Peperiksaan Peringkat ‘O’. Perasaan gementar dan gelisah menyelubungi diri setiap kali isu ini muncul dalam otak fikiran saya.

Saya tidak mahu gagal. Saya tidak mahu mengecewakan ibu dan ayah. Saya takut tidak dapat berjaya memasuki maktab rendah yang saya inginkan. Saya takut cita-cita saya semuanya tidak kesampaian. Saya juga takut aku tidak dapat menjadi seorang yang disanjung tinggi di kalangan masyarakat suatu hari nanti.

Adakah apa-apa yang akan saya pelajari cukup untuk menjawab soalan-soalan yang akan dikemukakan? Dapatkah saya meraihkan markah yang cemerlang lagi memuaskan? Dapatkan saya mengukirkan senyuman di bibir ibu dan ayah? Jika takdir keputusan saya tidak memuaskan, dapatkah saya menduduki Peperiksaan Peringkat ‘A’ pula? Berlegar-legar soalan-soalan ini meroboh alam fikiran saya.

Saya tetap tabah. Saya tidak akan membiarkan kegelisahan ini menghalang kemaraan saya. Saya akan menguatkan azam menghadapi dunia yang akan memerah semangat dan keringat sebelum ia merelakan kejayaan. Saya telah memerah otak memikirkan cara-cara untuk aku meraih kejayaan.

Cipta jaya. Apakah definasi cipta jaya? Cipta jaya bermaksud membina kejayaan hidup sendiri. Pada pandangan saya, cipta jaya juga bermaksud ketabahan seseorang untuk menyedari kelebihan atau kemahirannya. Saya ingin mencipta kejayaanku untuk Peperiksaan Peringkat ‘O’ itu. Jika usaha saya cukup untukku cemerlang, saya boleh meneruskan usaha saya ke tahap yang lebih tinggi lagi untuk Peperiksaan Peringkat ‘A’ pula.

Mari kita mula. Apakah cara-cara untuk meraih kemenangan? Untuk berjaya melakukan sesuatu, kita harus mempunyai sebuah strategi yang kukuh. Strategi ini haruslah berkebolehan digunakan untuk jalan keluar daripada sebarang cabaran yang dihadapi.

Pertama sekali, keadaan adalah salah satu perkara penting untuk pembelajaran. Saya belajar dan menyudahkan kerja-kerja sekolah saya di rumah. Sudah beberapa kali saya pergi ke perpustakaan untuk belajar. Tetapi, atas sebab-sebab tertentu, saya tidak dapat menumpukan perhatian pada kerja-kerja saya.

Kedua adalah fikiran kita. Saya selalu mengingatkan diri saya setiap kali saya rasa bagai ingin putus asa. Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. Peribahasa yang telah saya pelajari waktu sekolah rendah dahulu tetap mekar dalam fikiran saya. Maksud bagi peribahasa ini adalah, biarlah kita bertungkus-lumus membuat kerja sekarang, asalkan kita dapat membina hidup bahagia pada hari-hari yang akan datang.

Saya terdorong oleh semangat dan pertolongan yang ditumpahkan oleh guru-guru dan rakan-rakan saya. Jikalau saya mempunyai masalah ataupun soalan yang terngiang-ngian di fikiran, saya berjumpa dengan para guru untuk mendapatkan penyelesaian. Rakan-rakan saya memberikan semangat untuk saya menghabiskan kerja-kerja yang diberi. Mereka juga memberikan ringkasan bagi sesubuah pengajaran jika saya tidak menghadiri sekolah pada hari tersebut.

Perkara yang teramat penting adalah, jangan pernah syak waham dengan guru-guru kita. Guru-guru ini telah bertungkus-lumus untuk menolong kita berjaya dalam pelajaran. Niat mereka sangat bersih dan mereka ikhlas ingin mengajar. Kita harus ingat bahawa seorang guru tidak meleteh kerana benci. Beliau hanya inginkan kita berubah sikap yang buruk. Mereka mahu kita menjadi seseorang yang berbudi bahasa dan mempunyai sifat-sifat terpuji.

Strategi yang terakhir adalah kerja secara fizikal. Saya tidak mahu ketinggalan dalam pelajaran. Justeru, saya selalu menghabiskan kerja-kerja saya dan menghantarnya awal ataupun pada tarikh penghantaran yang telah ditentukan. Jika saya mula melengah-lengahkan kerja, ia akan bertambah dan saya akan menghadapi cabaran yang besar, iaitu untuk menghabiskan kesemua kerja itu dalam masa yang lebih kurang.

Saya harus rajin dan tekun membuat kerja sekolah. Saya digalakkan bertanya kepada guru-guru jika mempunyai sebarang masalah dalam pelajaran. Saya juga boleh meminta lebih nota-nota dan bahan-bahan pelajaran yang boleh digunakan untuk ulangkaji sendiri.

Saya menghadiri kelas tusyen di rumah sepupu rakan saya. Kita diajar mata pelajaran sains dan matematik. Walau bagaimanapun, kita diberi kebebasan untuk menanyakan sebarang soalan tentang mata pelajaran lain. Saya tidak mahu melepaskan peluang keemasan ini jadi saya selalu bertanya tentang kerja sekolah bagi mata pelajaran bahasa melayu.

Untuk menyenangkan cara saya mengimbangi pelajaran, ko-korikulur aktiviti, waktu bersenam dan masa buat keluarga, saya telah membuat sebuah jadual harian. Jadual ini amat berguna dan berkesan. Saya mencatatkan waktu saya di sekolah, waktu saya sampai ke rumah, waktu untuk rehat, waktu untuk belajar, waktu untuk keluarga dan waktu untuk bersenam. Jadual ini hanya boleh diubah pada waktu cuti sekolah sahaja.

Pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, saya menerhedkan waktu rehat saya satu jam sahaja. Selepas itu, saya akan mula membuat kerja sekolah. Waktu untuk kerja sekolah tidak diterhadkan kerana ia semuanya terletak kepada berapa banyak kerja yang diberi. Jika ada masa lagi, saya akan mengulangkaji pelajaran selama dua jam. Sebelum tidur, saya membaca buku dahulu. Kadangkala saya tidak tidur kerana mempunyai ko-korikulur aktiviti yang habis lewat dan banyak kerja sekolah telah diberi hari itu. Tetapi saya tidak pernah tertidur semasa waktu pelajaran.

Terlebih dahulu, saya telah berazam untuk memberikan yang terbaik pada tahun ini. Saya telah pelajari hampir kesemua kesilapan yang telah saya lakukan tahun lepas. Saya tidak mahu sejarah berulang. Saya mahu berubah. Saya mahu menjadi seorang yang disayangi, dapat berjasa kepada negara dan dapat menggembirakan ibu dan ayah. Keinginan saya ini semua menjadi jejak pertama saya mencapai kejayaan. Ia merupakan kunci bagi masa depan yang cerah.

Cita-cita saya adalah untuk menjadi seorang guru ataupun doktor. Kerjaya ini memerlukan usaha yang gigih. Saya tidak boleh bersikap endah tak endah. Saya selalu memcari maklumat tentang cita-cita saya. Dari situ, saya cuba mengikut sikap seorang guru atau doktor. Saya sirius dalam kerja yang diberi. Saya bajai maklumat yang saya dapat untuk mencapai cita-cita saya. Oleh itu, saya selalu cuba bersikap sesuai pada setiap masa.

Ilmu-ilmu bantu dapat menolong saya sedikit sebanyak dalam perjalanan saya mencapai kejayaan. Ilmu ini percuma dan ia adalah salah satu cara saya meningkatkan lagi pemahaman saya dalam sesebuah mata pelajaran. Ilmu-ilmu bantu ini boleh didapatkan daripada guru-guru dan rakan-rakan. Sebab itulah saya selalu ditanya para guru jika saya benar-benar faham akan pengajarannya.

Azam saya buat tahun ini adalah untuk memberi yang terbaik kepada semua pihak. Sekarang, saya mempunyai satu lagi azam, iaitu untuk membajai maklumat dan pelajaran demi mencapai cita-cita saya.




Ambil Patinya, Buangkan Hampasnya
Masyarakat Melayu terkenal dengan berbagai-bagai peribahasa. Peribahasa dicipta sebagai hasil pemerhatian dan pengamatan masyarakat Melayu pada alam sekitar atau peristiwa yang berlaku dalam kehidupan. Peribahasa ini mempunyai unsur-unsur nasihat dan pengajaran yang berguna untuk dijadikan penduan hidup sepanjang zaman. Begitu jugalah dengan peribahasa ‘Ambillah patinya, buangkan hampasnya”.

Peribahasa ini bermaksud daripada tiap-tiap cerita atau perkara janganlah hiraukan yang salah atau yang buruk, ambil sahaja yang baik atau yang betul. Peribahasa ini mempunyai maksud yang sama dengan peribahasa “Buang yang keruh, ambil yang jernih”. Peribahasa ini boleh dihubungkaitkan dengan cerita jenaka “Pak Pandir” yang tidak asing lagi bagi masyarakat Melayu dan juga menghiburkan lagi lucu.

Pada suatu pagi, Mak Andeh menyuruh Pak Pandir menjemput Pak Haji dan Pak Lebai ke rumah kerana mereka hendak mengadakan kenduri doa selamat.

Lalu Pak Pandir bertanya, “Bagaimana rupa Pak Haji dan Pak Lebai itu, Andeh?”.

Mak Andeh pun menjawab. “Pak Haji itu berserban di atas kepalanya dan Pak Lebai pula yang berjanggut di bawah dagunya.”

Setelah mendengar penerangan isterinya, Pak Pandir pun pergi mencari Pak Haji dan Pak Lebai. Jauh dia berjalan, keluar masuk hutan. Apabila Pak Pandir sampai di pinggir sebuah kampung, dia berjumpa seekor kambing serta berkata, “Hai, Pak Lebai! Andeh menjemput kamu ke rumah. Kami hendak mengadakan kenduri.”

Oleh sebab ketakutan apabila melihat Pak Pandir, maka kambing itu berlari sambil berbunyi, “Bek! Bek!. Mendengarkan bunyi kambing itu, Pak Pandir pun berkata, “Mengapa Pak Lebai mengakatan nasi Andeh lembik? Tak lembik, keraslah!”

Pak Pandir mengejar kambing itu lalu ditangkapnya si kambing jantan. Pak Pandir pun mengheret kambing itu pulang.

Dalam perjalanan pulang, dia bertemu dengan sekawan burung pipit uban yang sedang mencari makan di padang. Maka Pak Pandir berkata, “Hai Haji, Andeh menjemput kamu ke rumah. Kami hendak mengadakan kenduri.”

Maka burung itu pun berbunya, “Pit! Pit!’. Mendengarkan suara burung itu, Pak Pandir pun berkata, “Rumah kami tidak sempit, Haji. Rumah kami luas dan besar. Marilah cepat. Andeh sudah lama menanti.”.

Sebentar kemudian, burung-burung itu pun berterbangan. Pak Pandir mengejar burung-burung itu tetapi tidak dapat menangkapnya. Dia naik berang. Dia mengambil sebatang kayu lalu melemparkan ke arah burung-burung itu. Kayu itu mengenai seekor burung lalu burung itu jatuh ke tanah. Maka segeralah Pak Pandir mengambilnya sambil berkata. “ Tadi aku ajak baik-baik, kau tidak mahu, sekarang baru hendak.” Dia pun berjalan pulang.

Sesampainya di rumah, Pak Pandir pun menunjukkan burung pipit dan kambing itu kepada Mak Andeh sambil berkata, “Andeh, ini Pak Haji dan Pak Lebai yang Andeh suruh aku jemput. Bagai hendak mati aku mengejar. Kedua-duanya tidak mahu diajak makan.”.

Apabila melihat burung dan kambing itu, Mak Andeh pun menjadi begitu marah lalu berkata, “Aduhai, Pak Pandir memang tidak boleh diharap! Lain disuruh, lain pula yang dibuat!”.

Begitulah jalan cerita jenaka yang bertajuk “Pak Pandir”. Menarik bukan? Daripada cerita ini, kita dapat mengikut kelakuan Pak Pandir yang elok dan tidak menghiraukan yang tidak elok. Walau bagaimanapun, kita digalakkan mempelajari daripada kesilapan yang dilakukannya dan jangan mengikutinya pada masa hadapan. Marilah kita melihat baik buruk daripada cerita ini dan cuba praktikkan dalam hidup kita.

Watak Pak Pandir adalah seorang yang tidak bijak. Dia tidak mengenal pun siapa itu Pak Haji dan Pak Lebai. Tambahan pula, dia berdaya menangkap dua ekor binatang itu sebagai para jemputannya untuk kenduri di rumah. Dengansambil lewa, dia menangkap seekor kambing daripada sekawan kambing yang rupanya semua sama. Begitu jugalah apabila dia mengejar burung yang berterbangan itu.

Selain itu, dia seorang yang senang hilang kesabarannya. Dia terus mengejar kambing-kambing itu apabila mereka berlari. Begitu jugalah dengan burung-burung itu. Dia meninggikan suaranya apabila kambing itu mengembek yang dianggapnya kambing itu menyatakan nasi Mak Andeh lembik. Dia juga melempar sebatang kayu menuju ke arah burung-burung itu apabila dia gagal menangkapnya.

Tetapi, ada juga ciri-ciri Pak Pandir yang dapat dicontohi. Walaupun Pak Pandir bodoh, dia tidak sombong. Dia bertanya kepada Mak Andeh akan rupa para jemputan mereka. Kita harus mencontohi ciri-ciri sebegini. Bak kata pepatah, “Malu bertanya, sesat jalan”. Dalam kehidupan ini, kita tidak seharusnya bersikap bodoh sombong kerana jika kita enggan bertanya, kita tidak dapat mempelajari daripada kesilapan kita.

Dia juga mendengar akan kata-kata dan arahan Mak Andeh. Dia tidak membantah apa lagi merungut. Dia sanggup keluar masuk hutan mencari mereka. Kita sebagai manusia biasa harus bertolak ansur agai tiada pertangkaran atau permusuhan akan berlaku. Ia juga menunjukkan cara-cara kita menghormati antara satu sama lain.

Justeru, kita harus menapis carite-carite yang dibaca ataupun ditonton agai kita dapat meraih yang terbaik daripadanya. Contohi yang elok, pelajari yang tersilap. Memang tepatlah seperti kata peribahasa Melayu, “Ambillah patinya, buangkan hampasnya”.




February 1, 2009
Perbelanjaan Seharian Saya
Saya diberi wang sebanyak dua puluh dolar seminggu untuk perbelanjaan sekolah. Wang ini, saya dapatkan daripada ayah. Saya tidak boros membelanjakan kesemua wang yang ada. Saya cuba berjimat sebanyak mungkin. Sebabnya, bukan senang bagi ayah untuk mendapatkan wang pembiayaan saya. Pada akhir minggu, saya menabung wang yang berlebihan. Dari situ, saya dapat mengumpul wang yang agak banyak sesampainya akhir bulan.

Wang perbelanjaan sekolah dikhaskan untuk membeli makanan dan sedikit barangan sekolah sahaja. Ayah saya memberi wang berlebihan untuk perbelanjaan lain. Jika saya keluar pada hujung minggu, ayah memberikan wang sebanyak lima dolar sehari. Wang ini untuk kecemasan, sekiranya terjadi sesuatu yang tidak disangkakan. Walaupun kesenangan yang ayah bentangkan, saya tidak mengambil kesempatan untuk meminta wang secara keterlaluan hanya untuk membeli barangan yang tidak perlu. Saya tidak mahu ayah bekerja sehari suntuk untuk mendapatkan wang hanya buat saya memboros. Situasi sebegitu diberi nama 'tidak berhati perut'.

Tentu ada budi yang harus dilakukan sebelum mendapatkan wang. Sejak ibu tidak lagi tinggal bersama, saya sering menolong ayah mengemas rumah dan melakukan kerja-kerja yang dahulunya disudahkan ibu. Pada setiap hujung minggu, saya melakukan kerja rumah seperti menyapu, melipat kain baju, mencuci baju dan menggosokkan baju-baju buat pemakaian mingguan. Pada hari sekolah pula, saya hanya berdaya memasak, mengemas dapur dan menjaga kebersihan rumah. Sudah tentu kerja-kerja sebegini menjejaskan waktu saya menghabiskan kerja sekolah. Namun, tiada orang lain yang saya sayangi lebih dari ayah kandung saya sendiri.

Setelah lelah menghabiskan kerja rumah, ayah memberikan apa yang saya perlu, wang. Saya menghindari daripada menggunakan wang yang telah ditabung. Ibu menamakan tabung saya 'tabung khinzir'. Kenapa? Ibu berkata, 'Apabila memasukkan wang ke dalam tabung tersebut, tidak usah memegang tabungnya. Tetapi apabila hendak mengeluarkan wang yang ada untuk berbelanja, harus dibuka tabungnya, justeru dipegang 'khinzir itu', ' Dengan pengajaran sebegitu, saya sering mengingatkan diri saya agar tidak mendatangkan dosa dengan mengeluarkan wang tabungan untuk berbelanja sesuka hati.

Untuk membelanjakan wang yang didapati sebaik-baiknya, saya mencatat perbelanjaan saya. Justeru, saya dapat menjejaki perbelanjaan saya setiap minggu. Kadangkala saya berbelanja secara berlebihan, kadang kala berkurangan. Saya cuba sedaya upaya untuk berbelanja hanya buat pokok, tanpa bunga. Itulah perbelanjaan seharian saya.




January 27, 2009
Resipi Kejayaan Mr Bean
Mr Bean. Bukan. Bukan Mr Bean si pelawak di kaca televisyen itu. Mr Bean yang menyediakan makanan dan minumam yang dihasilkan dari kacang soya. Mustahil jika kamu tidak pernah terdengar sekalipun nama salah satu syarikat termasyhur di Singapura ini. Baiklah, jika kamu benar-benar tidak tahu tentang Mr Bean, biar saya laporkan sedikit-sebanyak tentang syarikat ini.

Bak kata pepatah, sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit. Dengan pepatah yang tak lapuk dek hujan ini, Encik Kang Puay Seng telah berjaya melahirkan sebuah cawangan bernama Mr Bean. Mula-mula, Encik Kang, bersama-sama dengan rakan niaganya, Encik Loh Jwee Poh, mencuba nasib membuka cawangan pertama Mr Bean di People's Park Food Centre. Mr Bean menawarkan air dan dadih yang diperbuat daripada kacang soya. Langkah pertama mereka telah menelan kira-kira $6000. Tetapi ongkos sebegitu tidak menghalang mereka daripada terus berkembang. Dalam jangka masa tiga tahun, Encik Kang dan Encik Loh telah bercadang untuk menjelajah keluar. Mereka membuka sebuah cawangan di pusat membeli-belah di Hougang Mall. Cawangan kedua mereka itu menelan lebih $3o ooo.

Daripada pembimbingan hanya seorang pekerja hingga ke 420 pekerja. Bukan senang-lenang hendak menggajikan pekerja sebanyak itu. Mr Bean telah mengeluarkan jumlah wang yang agak besar demi melatih pekerja yang berkebolehan. Pekerja adalah tulang belakang sebuah perniagaan. Justeru, Mr Bean menghargai kesemua pekerjanya.

Setelah mendapatkan pekerja yang secukupnya, Mr Bean meluaskan lagi keterhatan syarikatnya. Mr Bean berputus untuk memasarkan air dan dadih kacang soya kepada masyarakat di pusat membeli-belah dan stesen-stesen MRT. Walaupun bercanggah dengan tradisi, perluasan cawangan mereka membawa niat suci. Mr Bean ingin mengeratkan hubungan bersama para pelanggannya.

Kemasyhuran di kalangan rakyat Singapura sahaja tidak cukup memuaskan bagi kedua-dua sahabat handai itu. Lima tahun yang lalu, Mr Bean berjaya menembusi Changi Airport di Terminal 1, diikuti dengan Teminal 2 dan Terminal 3 beberapa tahun kemudian. Tidak semua kedai menjual barangan kacang soya yang dapat bercawang di Lapangan Terbang Changi itu. Justeru, ongkos sekitar $100 000 tidak terbazir walau sedikit pun. Dengan pengenalan syarikat Mr Bean kepada pada pengujung Singapura, Mr Bean dapan menyebarkan statusnya kepada negara-negara lain.

Selain merebakkan penjualan produk-produk kacang soya, Mr Bean aktif dalam pertubuhan amal. Beberapa tahun yang lalu, Mr Bean telah meraih sebanyak $26 000 bagi sekolah Autistik Pathlight. "Jika kami menolong orang lain, kami percaya kami akan dibalas berlipat kali ganda" kata Encik Kang yang sentiasa sederhana itu.

Mengapa Mr Bean berjaya melakukan semua ini? Jawapannya senang sahaja. "Berfikiran terbuka bermaksud mendengar fikiran dan pandangan yang baru. Ia membolehkan seseorang menyelesaikan masalah. Kita harus menyesuaikan diri mengikut keadaan pasaran," ujar Encik Kang.

Mr Bean tidak hanya terhad pada penjualan air dan dadih kacang soya. Malahan, ia membawa pilihan makan sihat yang luas. Daripada air ke dadih ke lempeng ke bukit ke ais krim ke bandung dan chendol. Snek-snek itu berbeda perisa dan jenis. Walau bagaimanapun, kesemua barangan itu diperbuat daripada kacang soya ataupun menggunakan kacang soya untuk megurangkan lemak dan menambahkan khasiatnya. Untuk mengeluarkan produk-produk sebegitu, Mr Bean menggunakan teknologi yang canggih. Hidangan-hidangan yang lazat itu dapat disiapkan dalam jangka masa yang singkat dan mudah.

Masyarakat tentunya tertarik dengan kecekapan Mr Bean dalam melancarkan makanan serta minuman yang penuh khasiat. Secara tidak langsung, Mr Bean berjaya menarik ratusan pelanggan, tidak kira tua ataupun muda, bagi setiap cawangan pada setiap hari. Sangat mengkagumkan. Para pelanggan biasanya mengujungi cawangan-cawangan di stesen-stesen MRT sebelum pergi dan setelah pulang dari kerja. Makanan ringkas itu menjadi penjamu selera di mana-mana sahaja.

Kini, apa yang patut dilakukan adalah untuk mendapatkan sijil halal bagi setiap cawangan Mr Bean. Bagi 50 cawangan yang ada di Singapura, ongkosnya tidak murah. Banyak yang harus diambil kira. Namun, untuk mendapatkan keyakinan masyarakat Islam, Mr Bean akan cuba sedaya-upaya untuk merealisasikan rencangannya dalam tempoh dua tahun mendatang.

Manalah tahu, suatu hari nanti, Mr Bean akan terkenal seluruh dunia? Mr Bean bercadang perluasannya. Setelah didaftarkan di 10 buah negara, Mr Bean ingin memikir semula tentang langkahnya. Masalah kemelesetan ekonomi telah menghambat pelan mereka. Mr Bean khuatir jika ia tersalah langkah. Namun, cadangan untuk memantapkan lagi perniagaan di Singapura dapat menjauhkan fikirannya tentang masalah yang sedang dihadapi.

"Kami akan terus mara ke hadapan tetapi akan menunggu waktu untuk bergerak," kata Encik Kang yang kuat semangat dan berfikiran terbuka.




January 18, 2009
Kerjaya Pilihan
Kerjaya. Kerjaya membawa maksud pekerjaan yang dipilih sebagai cara mencari nafkah. Kerjaya adalah langkah ketiga bagi setiap individu dalam menyelami liku-liku kehidupan. Perguaman. Itulah bidang kerjaya yang ingin saya ceburi pada masa kelak. Kenapa? Seterusnya, akan saya bentangkan fakta-fakta yang telah saya pertimbangkan dalam pemilihan kerjaya ini.

Pertama, bidang perguaman ini tidak kira bahasa, budaya mahupun agama. Sesiapa sahaja boleh menceburi bidang ini. Dengan memilih kerjaya yang merangkumi pekerja-pekerja daripada semua kaum, saya dapat memahami lebih khusus lagi tentang budaya mereka. Bukan itu sahaja, tentunya saya akan menghadapi kes-kes mengenai pelbagai kaum. Misalnya, sekeluarga Cina ingin mempusakai harta yang ditinggalkan oleh bapa mereka yang baru sahaja meninggal dunia. Anak sulung serta anak bongsu tidak mahu mengalah ataupun membahagikan harta tersebut supaya kedua-duanya dapat merasakan hasil titik peluh bapanya. Untuk mendapatkan penjelasan orang tengah, saya harus mendengar curahan hati ibunya. Tetapi, ibunya pula tidak fasih berbicara dalam bahasa Inggeris. Saya terpaksa mendapatkan pertolongan seseorang yang dapat memahami apa yang diperkatakan wanita tersebut. Saya juga harus mengumpul sebanyak mungkin informasi yang akan membolehkan saya menaakal atas siapa yang patut mempusakai harta tersebut. Dari situ, saya dapat menjelajahi bahasa, budaya dan agama mereka agar lebih cenderung lagi dengan masalah yang mereka hadapi.

Kedua, bidang perguaman memerlukan kecekapan dan ketangkasan bekerja. Kes-kes jenayah semestinya tidak boleh diperlengah-lengahkan. Saya harus pantas mendapatkan informasi daripada pihak polis tentang jenayah tersebut, informasi daripada orang ramai yang telah menyaksikan jenayah tersebut dan mengenalpasti penjenayah yang tergamak melakukan jenayah tersebut. Kecekapan bekerja menguji disiplin saya. Perlengahan dalam membereskan kerja saya akan memberi peluang kepada si penjenayah untuk cuba memikirkan alasan-alasan yang ingin diberi kepada pihak polis dan hakim apabila disoal-siasat. Jika si penjenayah ini sangat cerdik, akan dia memperincikan ceritanya agar meyakinkan. Justeru, kepantasan perlaksanaan tugas saya sangat penting.

Ketiga, seorang peguam dapat menegakkan keadilan apabila menghadapi kes-kes jenayah dan masalah-masalah domestik. Seorang peguam dapat menaakal kenapa, bagaimana dan apa yang membezakan si penjenayah dan si mangsa kes tersebut. Walaupun saya tidak dapat memilih pelanggan yang meminta bantuan saya, saya dapat mengalami desakan para pelanggan yang ingin diselamatkan. Dari situ, saya dapat memahami susah senangnya hidup seseorang itu. Misalnya, orang miskin yang menjadi mangsa akan merayu bantuan dengan sepenuh hati. Tetapi, orang kaya yang menjadi mangsa tidak hairan jika ditolak permintaannya dan akan senang-lenang meminta bantuan peguam lain.

Bukan senang untuk merealisasikan kerjaya yang diimpikan. Dengan usaha, pengalaman dan doa, insya-Allah, akan berjaya kita kecapi impian tersebut. Bercakap tentang usaha, persediaan harus dilakukan secepat mungkin. Pada usia muda kini, yang terdaya dilakukan adalah mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam semua mata pelajaran. Keutamaan kecemerlangan harus berterusan sehingga berjaya mendapatkan ijazah dalam bidang pekerjaan yang diimpikan. Pengetahuan yang luas menyenangkan pembezaan antara yang betul dan yang palsu, yang ikhlas dan yang endah tak endah. Ia juga dapat menghidarkan saya daripada dikelintung. Dengan timbaan ilmu yang tidak terputus, saya dapat menghindari daripada harus menelan kata-kata saya sendiri apabila menaakal dalam kes-kes yang dihadapi sewaktu bekerja.

Setelah mempelajari pengetahuan amnya, akan saya teruskan dalam menimba pengetahuan khususnya pula. Seperti yang telah dikatakan, seorang peguam harus tahu undang-undang negara yang terperinci. Selain itu, kemahiran yang wajib saya punyai adalah bertutur-kata dengan orang ramai. Sebagai seorang peguam, saya harus pandai berbicara bersama para pelanggan dan juri-juri serta hakim. Saya harus tahu membezakan cara berbicara bersama orang-orang yang berbeza pangkatnya. Misalan, saya boleh menyesuaikan diri berbicara bahasa pasar bersama para pekerja yang lain. Tetapi, haram bagi saya untuk berbicara sedemikian apabila dalam mahkamah. Cara berbicara dengan berkesan dan meyakinkan sangat penting kerana ia dapat memutuskan kemenangan atau kekalahan dalam kes tersebut. Setelah diputuskan kemengan atau kekalahan, diputuskan pula martabat saya di kalangan orang ramai.

Ganjaran seorang peguam sangat lumayan. Pendapatannya yang tinggi menambahkan keselesaan hidup. Dengan wang yang diperolehi pada setiap akhir bulan, saya dapat menolong orang-orang yang tidak berkemampuan, menjaga makan-minum ibu bapa saya dan menyelamatkan mangsa-mangsa yang telah tergendala. Setelah menjalankan tanggungjawab saya, wang yang berlebihan boleh saya gunakan untuk menenangkan fikiran selepas sebulan memerah otak demi melangsaikan masalah para pelanggan saya dan mencapai impian-impian saya yang lain. Tentu puas rasanya mendapat ganjaran sebegini.

Seorang peguam berkemampuan menurunkan tahap jenayah yang berlaku dalam negara. Seorang peguam boleh menolong orang ramai. Seorang peguam dapat menegakkan keadilan. Seorang peguam berdikari. Seorang peguam berdisiplin. Seorang peguam pantas. Seorang peguam cekap. Seorang peguam berkebolehan. Saya mahu menjadi peguam tersebut.




May 20, 2008
Latihan Peribahasa Dan Kata Sendi
Hari ini murid-murid Menengah 3 Cikgu Manaf telah membuat latihan peribahasa dan kata sendi melalui komputer. Berikut adalah lelaman web untuk kata sendi.

http://www.geocities.com/yus7441/ksendi.htm
http://c.1asphost.com/kelas/latih/ksendi.htm




January 27, 2008
Makna-makna Malu
Informasi seterusnya telahku cuplik dari blog cikgu manaf. Penerangannya tentang pelbagai makna malu amat menarik sekali.

Rasa Malu

Malu adalah perasaan rendah diri akan kekurangan yang ada pada diri sendiri apabila dibanding-bandingkan dengan orang lain. Kekurangan ini boleh dimengertikan sebagai kebodohan, kejahilan, tidak setimpal, tidak seperti, mahupun tidak setaraf. Seseorang yang bersifat demikian beranggapan bahawa dirinya hina dan kurang daripada orang lain yang dianggapnya pula memiliki banyak kelebihan daripada dirinya. Seseorang yang bersifat sedemikian akan menjauhi orang lain, menyorok wajahnya apabila dipandang orang.

Mendapat Malu

Seseorang yang dimalukan akan berasa terhina dan terkeji daripada kaca mata orang lain. Orang yang menerima aib dan keji ini akan berasa marah, geram, sanggup bertindak kasar dan keras terhadap orang yang memberinya malu. Oleh sebab dia berpendapat bahawa maruah dan harga dirinya dicabar sewaktu dimalukan. Air mukanya jatuh di khalayak ramai menyebabkan dia berasa begitu hina dan aib sekali. Individu itu akan berasa sedih, pilu dan kecewa. Tindakan yang tidak wajar selalunya menuruti kerana dia menganggap dirinya hina, kotor, keji dan tidak berguna lagi di mata dunia.

Tidak Tahu Malu

Berbeza pula dengan sikap ini. Seseorang akan tergamak melakukan sesuatu perbuatan yang mengaibkan dirinya sendiri. Hal demikian terjadi akibat dorongan atau kerana berasa dirinya terdesak, sama ada dia menyedarinya atau tidak. Timbul istilah muka tebal, sanggup dimalukan dan diaibkan orang begitu sahaja. Bukan kerana dia seorang yang tahan hati dan dapat menelan kekejian yang orang lain lemparkan kepadanya. Mungkin juga dia dimalukan kerana kesalahan akan perbuatannya sendiri.




January 23, 2008
Berkekalan Buat Selama-lamanya
Farel dan Rachel telah berkawan sejak berumur lima tahun. Di hati masing-masing terpancar satu kemesraan yang erat berjalan seiring. Pergaulan yang akrab ini bermula semasa pra-sekolah. Ketika itu, kedua-dua mereka tidak mempunyai sebarang kawan. Pada waktu untuk bermain, Farel terlanggar Rachel semasa beratur untuk menurun gelonsor. Mereka mula ketawa terbahak-bahak kerana Rachel tergolek. Dari situ, mereka mula menjalin hubungan yang mesra.

Mereka juga telah menyedari hobi mereka serupa, iaitu bermain bola keranjang. Biasanya selepas tamat waktu sekolah, mereka berjalan bersama-sama ke taman permainan. Farel juga suka akan membaca komik. Farel selalu singgah ke kedai buku untuk mencari komik-komik terbaru yang digemarinya. Selepas itu, dia akan pulang ke rumah untuk meminta izin ibunya meminta wang membeli komik itu.

Rachel bukan seperti anak-anak perempuan yang lain. Dia lasak dan suka akan sukan-sukan yang aktif. Dia selalu bercampur dengan anak-anak lelaki yang lain, terutama sekali Farel. Dia telah dipinggirkan oleh teman-teman perempuannya yang lain. Hal ini bersebabkan dia mempunyai tubuh yang agak rendah dan rambutnya pendek seperti lelaki. Di sebalik wajahnya yang bagai seorang lelaki, Rachel menyimpan sebuah rahsia iaitu, dia menyayangi Farel.

Enam belas tahun kemudian, pendirian mereka semakin kuat, mereka sudah melalui banyak pengalaman dan juga sudah metang. Farel mempunyai imeg yang tampan dan bergaya lagi menarik hati. Walaupn Rachel masih mempunyai rambut pendek, kecantikan dan sifat kewanitaannya tetap menyerlah. Mereka berdua masih lagi berkawan dan rapat. Mereka selalu ke taman permainan, bermain bola keranjang bersama-sama.

Sewaktu kecil dahulu, mereka telah membina sebuah rumah pokok di sebatang pokok yang agak dekat dengan gelanggang bola keranjang. Disebabkan Farel takut memanjat rumah pokok itu, Rachel mengambil kesempatan untuk meluahkan perasaannya di situ. Rachel mengukir sebuah bentuk hati serta namanya dan Farel di dalamnya. Setiap kali dia merajuk, die memanjat ke rumah pokok itu dan merenung ukirannya.

Hingga sekarang, Farel masih belum berani memanjat rumah pokok itu. Pada suatu ketik, sewaktu menemani Rachel ke pasar, Farel ternampak seorang penulis dan pelukis komik kegemarannya. Dia menghampiri penulis itu dan meminta tandatangannya. Bukan itu sahaja, dia juga meminta alamat dan nombor telefonnya. Pada saat itu, Farel menyedari sesuatu. Dia tidak hanya menggemari komik itu, tetapi penulisnya sekali, Fara.

Fara seorang gadis kota yang tegas tetapi sangat terserlah kelembutannya yang asli. Pipinya licin bak puh dilayang. Bibirnya semerah dilema merekah. Wajahnya bersinar cerah, seperti pancaran matahari kehidupan dari bebola mata yang coklat ceria. Keayuannya memukau pandangan Farel sewaktu menanda tangani buku autografnya. Terutama sekali apabila dia menyisir rambutnya ke belakang. Jelas sekali dialah gadis idaman Farel.

Farel tidak mahu melepaskan gadis idamannya begitu sahaja. Justeru, dia mencuba nasibnya untuk memikat hati Fara keesokan hari. Dia memandu keretanya ke rumah Fara membawa sarapan pada pukul sembulan. Fara tergamam melihat Farel di halaman rumahnya. Dia tidak menyangka seorang peminat komiknya akan berbuat begitu. Dia bersarapan bersama Farel, masih tidak mempunyai sebarang idea tentang tujuan sebenar kehadiran Farel.

Rutin ini bersambung sejak dari hari itu. Farel juga pernah beberapa kali berjalan bersama-sama Fara ke taman bunga dan sebagainya. Setelah mendapat tahu tentang perkembangan hubungan di antara Farel dan Fara, Rachel membina perasaan cemburu. Dia tidak sanggup kehilangan orang yang dicintainya selama berbelas tahun. Disebabkan kebuntuan idea untuk menjarakkan Fara dan Farel, Rachel tidak dapat melakukan apa-apa.

Pernah beberapa kali Rachel cuba membuat Farel menyadari kewanitaannya tetapi gagal. Dia cuba mengelakkan diri dari bermain bola keranjang supaya tidak berpeluh, namun, Farel memahami perbuatannya itu agak pelik. Dia cuba memakai anting-anting tetapi Farel mentertawakannya. Dia juga pernah cuba memakai baju panjang dan Farel tetap tidak menyedari tujuan Rachel.

Hubungan Fara dan Farel semakin mekar. Mereka lebih kerap menghabiskan masa bersama-sama. Mereka selalu ke taman-taman dan pusat-pusat membeli belah. Fara selalu menanyakan Farel apakah yang diharapkan dalam komik akan datang. Fara sebenarnya mempunyai rahsia gelap yang tidak ingin diberitahu kepada sesiapa. Dia menghidapi barah jantung. Dia tidak tahu sampai bila dia boleh bertahan. Walaupun begitu, kumtum kegembiraan dapat menghalau debaran yang memukul dada.

Siapa yang dapat menyangka sesuatu yang buruk akan berlaku? Tiada sesiapa pun. Malangnya, Fara dan Rachel telah dihantar ke hospital pda masa yang sama. Fra telah berulang-kali memuntahkan darah. Rachel pula telah terjatuh dari sebuah bukit dan kakinya cedera parah. Farel terkejut apabila mendapat tahu tentang kejadian ini. Dia kelam-kabut memandu ke hospital.

Doktor mengesahkan bahawa keadaan Fara terlalu parah kerana penyakit barahnya sudah ke peringkat terakhir. Rachel menghadapi dugaan yang serupa. Kakinya harus dikodongkan supada kecederaannya tidak merebak ke anggota badan yang lain. Kedua-dua mereka sedang bertarung nyawa yang sama besar, sama berat. Ketentuannya ialah, salah seorang daripada mereka akan terkorban.

Setibanya di hospital, Farel tidak dapat berfikir tenang. Fikirannya berserabut, sulit memikirkan tentang yang mana harus dilataninya dahulu. Tanpa membuang lebih masa, dia menuju ke wad kecemasan. Di situ, dia berlangkah mantap dan penuh keyakinan ke wad Fara. Melihat keadaan Fara yang tidak menyedarkan diri, Farel mempercepatkan lagi langkahnya ke wad Rachel pula.

Rachel sedang meraung kesakitan sementara doktor cuba membersihkan lukanya. Jantung Farel bagai hendak putus melihat keadaan kawannya itu. Bendungan air matanya pecah. Tidak sanggup lagi melihat keadaan kawan karibnya, Farel menunggu di luar wad. Dua jam kemudian, dia masuk wad Rachel lagi. Kali ini, Rachel sudah lebih bertenang. Rachel cuba menahan sebaknya tetapi matanya berairan air mata melihat Farel.

Dia menceritakan kepada Farel tentang kakinya yang harus dikodongkan. Dia tidak mahu cacat kerana tidak akan dapat bermain bola keranjang lagi seperti orang yang sihat. Juraian air mata mengalur lali meleleh di pipi Farel. Rachel mempunyai dua pilihan. Dia boleh sambung hidup tanpa satu kaki ataupun mengorbankan nyawanya supaya Fara dapat hidup.


Rachel tidak menyuarakan keputusannya kepada Farel, hanya kepada doktor dan ibunya. Ibu Rachel menangis tidak tertahan sambil memeluk Rachel erat-erat. Dia tidak terdaya kehilangan anak tetapi terpaksa menghormati keputusan Rachel. Dia menghabiskan beberapa jam yang terakhir bersama anak tersayangnya dengan sebaik mungkin. Rachel tahu dia tidak akan dapat melihat Farel lagi. Tetapi dia cukup berpuas hati jika Farel bahagia.

Pemindahan jantung itu merupakan satu pembedahan yang sangat kritikal. Jantung itu harus dijaga sebaik-baiknya. Ia tidak boleh terlalu lama didedahkan. Sebelum pembedahan, Rachel telah mengamanahkan kepada ibunya untuk memberikan sepucuk surat kepada Farel. Pembedahan itu mengambil masa lima jam. Setelah tamat lima jam, Rachel diisyhtiharkan sudah menyahut seruan Illahi dan Fara berjaya diselamatkan.

Farel melutut apabila mendengar tentang pembedahan itu. Dia sudah terlambat. Rachel sudah tiada, buat selama-lamanya. Hatinya remuk redam. Perkhabaran yang disampaikan itu benar-benar mengguris luka di hatinya. Kenangan pahit dan manis bersama Rachel menghantuinya. Dia teringat waktu dia mula mengenali Rachel, waktu dia meminta tolong Rachel dan waktu dia mentertawakan Rachel.

Ibu Rachel memberikan surat Rachel kepada Faral. Dari situ, Farel mendapat tahu bahawa Rachel telah mencintainya selama itu. Rachel juga menulis tentang perasaan cemburunya dan semua usahanya cuba menarik perhatian Farel. Ayat yang paling mengganggu buat Farel adalah, “Jika kamu ingin rasakan kasihku padamu, panjatlah rumah pokok kita dan cari rahsiaku di situ.”.

Farel memberanikan diri. Dia memanjat rumah pokok itu. Buat pertama kalinya, dia tidak takut. Dia sangat yakin dapat sampai ke atas. Di atas, di berjalan di keliling pokok besar itu. Dia terjumpa ukiran Rachel. Surat Rachel terlepas dari genggamannya. Dia berasa sangat hiba. Sedih tak terkata.

Akulah jantung. Jantung yang mempunyai dua tuan yang berbeza. Aku pati arwah tuanku bahagia aku tetap selalu di sisi kekasihnya, Farel.




Satu Keputusan Yang Tidak Dikesali
Aku berjaya. Tidak pernah kusangkakan bahawa aku akan dapat mencapai cita-citaku menjadi seorang guru. Sekarang, aku mengajar di Sekolah Perempuan Raffles. Aku diberikan jawatan yang amat mustahak dan dapat dibanggakan. Aku ketua bagi subjek matematik di sekolah. Jawatan ini, walau bagaimanapun, memerlukan banyak masa dan pengorbanan. Aku mempamerkan sebuah imeg yang kemas dan profesional.

Besar kemungkinan, tiada sesiapa yang dapat meneka sejarah hitamku. Dahulu, aku jauh berbeza daripada sekarang. Aku nakal. Selalu bercampur dengan teman-teman lelaki yang minat bola sepak. Boleh dikatakan, aku juga salah seorang peminat nombot satu bola sepak. Selepas waktu sekolah, biasanya aku akan mengumpulkan beberapa orang teman lain dan kami akan mengadakan perlawanan bola sepak secara spontan.

Aku terlalu aktif dalam sukan sehinggakan aku tidak menghiraukan perkara yang lebih mustahak iaitu pelajaran. Aku tidak berminat langsung dalam pelajaran. Aku tidak memberi perhatian dalam kelas dan jarang menyudahkan kerja rumah. Aku tidak faham akan pengajaran guruku. Aku juga mudah berputus asa. Kadangkala, aku cuba memberikan perhatian dalam kelas. Tetapi, jika aku tidak faham apa-apa sedikit pun, aku akan terus berputus asa.

Tabiat burukku ini tidak sedikit pun membawa sebarang kebaikan. Malahan, aku merupakan salah seorang murid yang terkenal atas sebab kenakalanku. Berkali-kali aku disuruh berjumpa dengan beberapa orang guruku kerana tidak membuat kerja. Guruk-guruku selalu mengadu bahawa aku tidak memberikan perhatian dan selalu menghadiri kelas mengantuk, penat dan berpeluh-peluh kerana bermain bola sepak pada waktu rehat.

Bukan itu sahaja, aku kerap sekali gagal dalam ujian dan peperiksaan. Ini disebabkan aku tertidur semasa ujian itu diadakan, ataupun aku tidak faham akan soalannya dan tidak mencuba untuk menjawabnya. Jika aku lulus pun, ia kerana guru menolongku mendapatkan sebanyak jawapan berul atau munasabah. Walau apapun, aku tidak kisah tentang keputusan yang aku dapat.

Hampir kesemua guruk yang mengajarku cuba menasihatiku agar mengubah sikapku dan mula menumpukan perhatian kepada pelajaran. “Aku masih mula,” fikirku. Guruku memberitahu bahawa lebih elok jika aku mula membina minat dalam pelajaran sejak usia muda. Mereka memberikan beberapa lagi saranan agar aku menyemai minat dalam pelajaran.

Peperiksaan pengaliran akan tiba dalam sebulan lagi. Terdapat tiga aliran dalam sekolah rendah. Aliran satu, untuk mereka yang mengambil bahasa ibunda lanjutan. Aliran kedua untuk mereka yang sederhana. Aliran ketiga untuk mereka yang lemah dalam pelajaran. Aku bercadang untuk memasuki aliran kedua. Tetapi aku tidak membuat apa-apapun untuk memasuki aliran itu.

Teman-temanku yang lain sudah mula mengulangkaji. Mereka mengehadkan masa bermain bola sepak. Aku selalu ditinggalkan untuk menyambung bermain seorang diri kerana mereka semua ingin belajar. “Tak gerek lah kamu ni semua!”. Itulah keluhan yang selalu ku suarakan. Jika mereka pulang, aku pun pulang. Tetapi aku sambung bermain permainan komputer pula tatkala di rumah.

Peperiksaan penyaliran bagi murid-murid darjah empat telah tiba. Aku duduk menantikan kertas soalan. Hatiku berkocak. Aku membuka kertas soalan itu. Hatiku yang pejal menjadi cair umpama ais yang diletakkan di bawah mentari. Aku cuba memikirkan tentang jawapan kepada soalan-soalan itu. Hari-hari berikut, hal yang serupa aku alami.

Keputusan telah dipaparkan di sekolah. Aku memasuki aliran ketiga. Hatiku pecah seribu. Awan mendung bergayutan di pelipis mataku. Aku kesal. “Mengapa aku tidak mendengar kata guru? Kenapa aku malas sangat? Kenapa aku tidak pernah cuba memahami pengajaran guru? Kenapa?” Berbagai-bagai soalan menujah telinga otakku. Sudah terlambat, bisik hati kecilku.