<body><script type="text/javascript"> function setAttributeOnload(object, attribute, val) { if(window.addEventListener) { window.addEventListener('load', function(){ object[attribute] = val; }, false); } else { window.attachEvent('onload', function(){ object[attribute] = val; }); } } </script> <div id="navbar-iframe-container"></div> <script type="text/javascript" src="https://apis.google.com/js/platform.js"></script> <script type="text/javascript"> gapi.load("gapi.iframes:gapi.iframes.style.bubble", function() { if (gapi.iframes && gapi.iframes.getContext) { gapi.iframes.getContext().openChild({ url: 'https://www.blogger.com/navbar.g?targetBlogID\x3d8212730082893941202\x26blogName\x3dbpghs+mcs+2009\x26publishMode\x3dPUBLISH_MODE_BLOGSPOT\x26navbarType\x3dBLACK\x26layoutType\x3dCLASSIC\x26searchRoot\x3dhttps://nadiah-hussin.blogspot.com/search\x26blogLocale\x3den_US\x26v\x3d2\x26homepageUrl\x3dhttp://nadiah-hussin.blogspot.com/\x26vt\x3d589922684148642534', where: document.getElementById("navbar-iframe-container"), id: "navbar-iframe" }); } }); </script>

The world is like a playground.


{Holla}
puteri nadiah hussin
4p1
bukit panjang govt high sch
19.11.93
de.little@hotmail.com

{Say}



February 8, 2009
Kejayaan
Kejayaan seseorang itu bukanlah didasarkan atas usaha sahaja. Bukalah mata dan lihat di sekeliling anda. Berapa ramai orang yang dapat anda lihat sedang menjalani hidup senang, membawa kereta mewah, tinggal di rumah besar dan berjawatan tinggi? Hebat bukan? Anda cemburu? Mengapa? Anda juga mahu hidup senang? Untuk pengetahuan anda, kejayaan itu bukanlah sesuatu yang mudah diraih. Kejayaan perlukan kerja keras.

Apa itu kerja keras? Seandainya anda mempunyai kerja sekolah tetapi anda malas hendak menyudahkannya. Adakah itu kerja keras? Tentu sekali tidak. Kerja keras memerlukan tenaga dan semangat seseorang untuk menyelesaikan sebuah tugasan. Dengan tidak menghabiskan kerja sekolah, tugasan anda akan bertambah setiap hari hinggakan anda mungkin tidak mempunyai cukup masa untuk menghabiskan kesemuanya pada masa yang ditetapkan.

Bak kata pepatah “Sedikit demi sedikit, lama-lama jadi bukit” dan “Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian”. Kejayaan bukan sahaja perlukan tenaga dan kerja keras, ia memerlukan juga ikhtiar, keyakinan, disiplin dan pengorbanan. Izinkan saya membawa para pembaca meninjau dengan lebih mendalam lagi fakta-fakta untuk meraih kejayaan.

Tanpa ikhtiar, adakah anda pasti anda boleh berjaya? Adakah anda berdaya untuk melakukan apa sahaja untuk menjejak di tangga kejayaan? Jika tidak, kemungkinannya anda akan terhambat dalam perjalanan mencapai kejayaan. Jika anda berikhtiar untuk melakukan apa sahaja, cabaran atau dugaan hidup tidak mungkin dapat menghalang anda daripada membesar dan berjaya.

Ingatkah anda pada masa anda baru belajar bertutur? Pastinya tidak. Cuba tanyakan kepada ibu bapa anda. Apakah perkataan pertama yang anda tuturkan? Bayangkan. Betapa susahnya ibu bapa anda ingin mengajar anda bertutur. Bukan senang kerja sebegini. Ibu bapa anda telah berikhtiar untuk menjadikan anda anak yang pintar. Jika mereka telah putus asa pada masa itu, anda mungkin tidak begitu matang dalam cara pertuturan anda hingga sekarang.

Keyakinan diri adalah datu lagi fakta untuk menggenggam api kemaraan. Anda harus mempunyai keyakinan diri untuk menghadapi dugaan. Apabila anda sudah yakin, besar kemungkinan anda akan tabah menghadapi sebarang cabaran. Keyakinan diri juga dapat mendorong anda untuk melakukan sesuatu yang tidak pernah dicuba.

Anak-anak kecil mula berjalan biasanya pada usia sebelas bulan. Bayangkan. Jika ibu bapa mereka tidak yakin anak mereka dapat berjalan dan enggan melakukan apa-apa untuk mengubah pemikiran sebegitu, anak mereka tidak mungkin berjaya menjejak bumi hingga lebih kurang enam bulan kemidian. Hal ini adalah satu kenyataan. Yakin pada diri anda. Insya-Allah, anda akan dapat menghadapi sebarang cubaan.

Apabila melakukan sebarang tugasan, anda seharusnya berdisiplin. Misalnya, apabila anda membuat kerja sekolah, anda harus pintar membahagikan masa untuk menyudahkan kerja sekolah itu, mengulangkaji pelajaran dan juga masa bersama keluarga. Bukan iu sahaja. Sesudah membahagikan masa anda, anda harus mengikut jadual itu dengan cekap. Jangan sesekali mengabaikan jadual anda dan sekaligus bersuka ria.

Dengan menunjukkan tahap disiplin yang mengkagumkan, anda dapat mempelajari kesilapan anda. Anda berpeluang memperbaiki kesilapan itu dan tidak mengulanginya sekali lagi pada masa akan datang. Anda dapat mengubah jalan hidup anda menuju ke arah yang lurus.

Akhir sekali, anda perlu redha dan sedia untuk berkorban. Bukanlah berkorban nyawa yang dimaksudkan. Anda harus bersedia mengorbankan masa anda bersantai untuk belajar atau membuat sesuatu yang lebih berfaedah. Anda mungkin boleh menggantikan dua jam masa untuk bermain komputer kepada masa untuk berbual-bual sesama anggota keluarga.

Pada masa kini, para anggota keluarga asyik sibuk dengan kerja mereka sendiri. Tidak kira di pejabat, di sekolah ataupun di rumah. Mereka akan melakukan kerja sendiri. Hal ini harus diubah. Para anggota keluarga harus meluangkan masa bersama untuk mengeratkan lagi tali perhubungan mereka. Di sini, ibu bapa akan dapat mengenalpasti sebarang masalah yang dihadapi anak-anak mereka.

Apakah tahap kejayaan. Adakah belajar daripada kesilapan itu satu kejayaan?Adakah mendapatkan markah cemerlang untuk peperiksaan itu satu kejayaan? Jawapannya adalah benar. Kesemua ini dikirakan sebagai satu kejayaan. Selagi anda dapat melakukan sesuatu perkara, anda sudah berjaya kerana anda diberi peluang untuk meneruskan kehidupan anda.

Siapa yang akan mendapat keuntungan jika anda berjaya? Tentu sekali anda yang akan mendapatkan keuntungan sepenuhnya. Teman-teman dan anggota keluarga anda juga dapat merasakan kepuasan hati. Mereka juga dapat mengongsi kejayaan anda bersama teman-teman mereka yang lain dan menjadikan ia sebagai sebuah inspirasi.

Apa akan berlaku jika anda gagal? Jangan berputus asa. Jangan kecewa. Jangan terus mengaku kalah. Cuba lagi. Sehingga berjaya. Anda harus menyediakan sebuah alternatif sekiranya pencubaan anda yang pertama tidak menjadi.

Justeru, usaha itu bukanlah fakta tunggal untuk meraih kejayaan. Walau bagaimanapun, ia tidak bermaksud usaha tidak penting. Asalkan anda sudah menentukan minda anda untuk bekerja bersungguh-sungguh, anda akan berjaya walau apapun keputusannya.




Cipta Jaya
Hanya tinggal setahun lagi untuk saya bersiap sedia menghadapi sesuatu yang akan menentukan masa depanku. Saya harus menduduki Peperiksaan Peringkat ‘O’. Perasaan gementar dan gelisah menyelubungi diri setiap kali isu ini muncul dalam otak fikiran saya.

Saya tidak mahu gagal. Saya tidak mahu mengecewakan ibu dan ayah. Saya takut tidak dapat berjaya memasuki maktab rendah yang saya inginkan. Saya takut cita-cita saya semuanya tidak kesampaian. Saya juga takut aku tidak dapat menjadi seorang yang disanjung tinggi di kalangan masyarakat suatu hari nanti.

Adakah apa-apa yang akan saya pelajari cukup untuk menjawab soalan-soalan yang akan dikemukakan? Dapatkah saya meraihkan markah yang cemerlang lagi memuaskan? Dapatkan saya mengukirkan senyuman di bibir ibu dan ayah? Jika takdir keputusan saya tidak memuaskan, dapatkah saya menduduki Peperiksaan Peringkat ‘A’ pula? Berlegar-legar soalan-soalan ini meroboh alam fikiran saya.

Saya tetap tabah. Saya tidak akan membiarkan kegelisahan ini menghalang kemaraan saya. Saya akan menguatkan azam menghadapi dunia yang akan memerah semangat dan keringat sebelum ia merelakan kejayaan. Saya telah memerah otak memikirkan cara-cara untuk aku meraih kejayaan.

Cipta jaya. Apakah definasi cipta jaya? Cipta jaya bermaksud membina kejayaan hidup sendiri. Pada pandangan saya, cipta jaya juga bermaksud ketabahan seseorang untuk menyedari kelebihan atau kemahirannya. Saya ingin mencipta kejayaanku untuk Peperiksaan Peringkat ‘O’ itu. Jika usaha saya cukup untukku cemerlang, saya boleh meneruskan usaha saya ke tahap yang lebih tinggi lagi untuk Peperiksaan Peringkat ‘A’ pula.

Mari kita mula. Apakah cara-cara untuk meraih kemenangan? Untuk berjaya melakukan sesuatu, kita harus mempunyai sebuah strategi yang kukuh. Strategi ini haruslah berkebolehan digunakan untuk jalan keluar daripada sebarang cabaran yang dihadapi.

Pertama sekali, keadaan adalah salah satu perkara penting untuk pembelajaran. Saya belajar dan menyudahkan kerja-kerja sekolah saya di rumah. Sudah beberapa kali saya pergi ke perpustakaan untuk belajar. Tetapi, atas sebab-sebab tertentu, saya tidak dapat menumpukan perhatian pada kerja-kerja saya.

Kedua adalah fikiran kita. Saya selalu mengingatkan diri saya setiap kali saya rasa bagai ingin putus asa. Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. Peribahasa yang telah saya pelajari waktu sekolah rendah dahulu tetap mekar dalam fikiran saya. Maksud bagi peribahasa ini adalah, biarlah kita bertungkus-lumus membuat kerja sekarang, asalkan kita dapat membina hidup bahagia pada hari-hari yang akan datang.

Saya terdorong oleh semangat dan pertolongan yang ditumpahkan oleh guru-guru dan rakan-rakan saya. Jikalau saya mempunyai masalah ataupun soalan yang terngiang-ngian di fikiran, saya berjumpa dengan para guru untuk mendapatkan penyelesaian. Rakan-rakan saya memberikan semangat untuk saya menghabiskan kerja-kerja yang diberi. Mereka juga memberikan ringkasan bagi sesubuah pengajaran jika saya tidak menghadiri sekolah pada hari tersebut.

Perkara yang teramat penting adalah, jangan pernah syak waham dengan guru-guru kita. Guru-guru ini telah bertungkus-lumus untuk menolong kita berjaya dalam pelajaran. Niat mereka sangat bersih dan mereka ikhlas ingin mengajar. Kita harus ingat bahawa seorang guru tidak meleteh kerana benci. Beliau hanya inginkan kita berubah sikap yang buruk. Mereka mahu kita menjadi seseorang yang berbudi bahasa dan mempunyai sifat-sifat terpuji.

Strategi yang terakhir adalah kerja secara fizikal. Saya tidak mahu ketinggalan dalam pelajaran. Justeru, saya selalu menghabiskan kerja-kerja saya dan menghantarnya awal ataupun pada tarikh penghantaran yang telah ditentukan. Jika saya mula melengah-lengahkan kerja, ia akan bertambah dan saya akan menghadapi cabaran yang besar, iaitu untuk menghabiskan kesemua kerja itu dalam masa yang lebih kurang.

Saya harus rajin dan tekun membuat kerja sekolah. Saya digalakkan bertanya kepada guru-guru jika mempunyai sebarang masalah dalam pelajaran. Saya juga boleh meminta lebih nota-nota dan bahan-bahan pelajaran yang boleh digunakan untuk ulangkaji sendiri.

Saya menghadiri kelas tusyen di rumah sepupu rakan saya. Kita diajar mata pelajaran sains dan matematik. Walau bagaimanapun, kita diberi kebebasan untuk menanyakan sebarang soalan tentang mata pelajaran lain. Saya tidak mahu melepaskan peluang keemasan ini jadi saya selalu bertanya tentang kerja sekolah bagi mata pelajaran bahasa melayu.

Untuk menyenangkan cara saya mengimbangi pelajaran, ko-korikulur aktiviti, waktu bersenam dan masa buat keluarga, saya telah membuat sebuah jadual harian. Jadual ini amat berguna dan berkesan. Saya mencatatkan waktu saya di sekolah, waktu saya sampai ke rumah, waktu untuk rehat, waktu untuk belajar, waktu untuk keluarga dan waktu untuk bersenam. Jadual ini hanya boleh diubah pada waktu cuti sekolah sahaja.

Pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, saya menerhedkan waktu rehat saya satu jam sahaja. Selepas itu, saya akan mula membuat kerja sekolah. Waktu untuk kerja sekolah tidak diterhadkan kerana ia semuanya terletak kepada berapa banyak kerja yang diberi. Jika ada masa lagi, saya akan mengulangkaji pelajaran selama dua jam. Sebelum tidur, saya membaca buku dahulu. Kadangkala saya tidak tidur kerana mempunyai ko-korikulur aktiviti yang habis lewat dan banyak kerja sekolah telah diberi hari itu. Tetapi saya tidak pernah tertidur semasa waktu pelajaran.

Terlebih dahulu, saya telah berazam untuk memberikan yang terbaik pada tahun ini. Saya telah pelajari hampir kesemua kesilapan yang telah saya lakukan tahun lepas. Saya tidak mahu sejarah berulang. Saya mahu berubah. Saya mahu menjadi seorang yang disayangi, dapat berjasa kepada negara dan dapat menggembirakan ibu dan ayah. Keinginan saya ini semua menjadi jejak pertama saya mencapai kejayaan. Ia merupakan kunci bagi masa depan yang cerah.

Cita-cita saya adalah untuk menjadi seorang guru ataupun doktor. Kerjaya ini memerlukan usaha yang gigih. Saya tidak boleh bersikap endah tak endah. Saya selalu memcari maklumat tentang cita-cita saya. Dari situ, saya cuba mengikut sikap seorang guru atau doktor. Saya sirius dalam kerja yang diberi. Saya bajai maklumat yang saya dapat untuk mencapai cita-cita saya. Oleh itu, saya selalu cuba bersikap sesuai pada setiap masa.

Ilmu-ilmu bantu dapat menolong saya sedikit sebanyak dalam perjalanan saya mencapai kejayaan. Ilmu ini percuma dan ia adalah salah satu cara saya meningkatkan lagi pemahaman saya dalam sesebuah mata pelajaran. Ilmu-ilmu bantu ini boleh didapatkan daripada guru-guru dan rakan-rakan. Sebab itulah saya selalu ditanya para guru jika saya benar-benar faham akan pengajarannya.

Azam saya buat tahun ini adalah untuk memberi yang terbaik kepada semua pihak. Sekarang, saya mempunyai satu lagi azam, iaitu untuk membajai maklumat dan pelajaran demi mencapai cita-cita saya.




Ambil Patinya, Buangkan Hampasnya
Masyarakat Melayu terkenal dengan berbagai-bagai peribahasa. Peribahasa dicipta sebagai hasil pemerhatian dan pengamatan masyarakat Melayu pada alam sekitar atau peristiwa yang berlaku dalam kehidupan. Peribahasa ini mempunyai unsur-unsur nasihat dan pengajaran yang berguna untuk dijadikan penduan hidup sepanjang zaman. Begitu jugalah dengan peribahasa ‘Ambillah patinya, buangkan hampasnya”.

Peribahasa ini bermaksud daripada tiap-tiap cerita atau perkara janganlah hiraukan yang salah atau yang buruk, ambil sahaja yang baik atau yang betul. Peribahasa ini mempunyai maksud yang sama dengan peribahasa “Buang yang keruh, ambil yang jernih”. Peribahasa ini boleh dihubungkaitkan dengan cerita jenaka “Pak Pandir” yang tidak asing lagi bagi masyarakat Melayu dan juga menghiburkan lagi lucu.

Pada suatu pagi, Mak Andeh menyuruh Pak Pandir menjemput Pak Haji dan Pak Lebai ke rumah kerana mereka hendak mengadakan kenduri doa selamat.

Lalu Pak Pandir bertanya, “Bagaimana rupa Pak Haji dan Pak Lebai itu, Andeh?”.

Mak Andeh pun menjawab. “Pak Haji itu berserban di atas kepalanya dan Pak Lebai pula yang berjanggut di bawah dagunya.”

Setelah mendengar penerangan isterinya, Pak Pandir pun pergi mencari Pak Haji dan Pak Lebai. Jauh dia berjalan, keluar masuk hutan. Apabila Pak Pandir sampai di pinggir sebuah kampung, dia berjumpa seekor kambing serta berkata, “Hai, Pak Lebai! Andeh menjemput kamu ke rumah. Kami hendak mengadakan kenduri.”

Oleh sebab ketakutan apabila melihat Pak Pandir, maka kambing itu berlari sambil berbunyi, “Bek! Bek!. Mendengarkan bunyi kambing itu, Pak Pandir pun berkata, “Mengapa Pak Lebai mengakatan nasi Andeh lembik? Tak lembik, keraslah!”

Pak Pandir mengejar kambing itu lalu ditangkapnya si kambing jantan. Pak Pandir pun mengheret kambing itu pulang.

Dalam perjalanan pulang, dia bertemu dengan sekawan burung pipit uban yang sedang mencari makan di padang. Maka Pak Pandir berkata, “Hai Haji, Andeh menjemput kamu ke rumah. Kami hendak mengadakan kenduri.”

Maka burung itu pun berbunya, “Pit! Pit!’. Mendengarkan suara burung itu, Pak Pandir pun berkata, “Rumah kami tidak sempit, Haji. Rumah kami luas dan besar. Marilah cepat. Andeh sudah lama menanti.”.

Sebentar kemudian, burung-burung itu pun berterbangan. Pak Pandir mengejar burung-burung itu tetapi tidak dapat menangkapnya. Dia naik berang. Dia mengambil sebatang kayu lalu melemparkan ke arah burung-burung itu. Kayu itu mengenai seekor burung lalu burung itu jatuh ke tanah. Maka segeralah Pak Pandir mengambilnya sambil berkata. “ Tadi aku ajak baik-baik, kau tidak mahu, sekarang baru hendak.” Dia pun berjalan pulang.

Sesampainya di rumah, Pak Pandir pun menunjukkan burung pipit dan kambing itu kepada Mak Andeh sambil berkata, “Andeh, ini Pak Haji dan Pak Lebai yang Andeh suruh aku jemput. Bagai hendak mati aku mengejar. Kedua-duanya tidak mahu diajak makan.”.

Apabila melihat burung dan kambing itu, Mak Andeh pun menjadi begitu marah lalu berkata, “Aduhai, Pak Pandir memang tidak boleh diharap! Lain disuruh, lain pula yang dibuat!”.

Begitulah jalan cerita jenaka yang bertajuk “Pak Pandir”. Menarik bukan? Daripada cerita ini, kita dapat mengikut kelakuan Pak Pandir yang elok dan tidak menghiraukan yang tidak elok. Walau bagaimanapun, kita digalakkan mempelajari daripada kesilapan yang dilakukannya dan jangan mengikutinya pada masa hadapan. Marilah kita melihat baik buruk daripada cerita ini dan cuba praktikkan dalam hidup kita.

Watak Pak Pandir adalah seorang yang tidak bijak. Dia tidak mengenal pun siapa itu Pak Haji dan Pak Lebai. Tambahan pula, dia berdaya menangkap dua ekor binatang itu sebagai para jemputannya untuk kenduri di rumah. Dengansambil lewa, dia menangkap seekor kambing daripada sekawan kambing yang rupanya semua sama. Begitu jugalah apabila dia mengejar burung yang berterbangan itu.

Selain itu, dia seorang yang senang hilang kesabarannya. Dia terus mengejar kambing-kambing itu apabila mereka berlari. Begitu jugalah dengan burung-burung itu. Dia meninggikan suaranya apabila kambing itu mengembek yang dianggapnya kambing itu menyatakan nasi Mak Andeh lembik. Dia juga melempar sebatang kayu menuju ke arah burung-burung itu apabila dia gagal menangkapnya.

Tetapi, ada juga ciri-ciri Pak Pandir yang dapat dicontohi. Walaupun Pak Pandir bodoh, dia tidak sombong. Dia bertanya kepada Mak Andeh akan rupa para jemputan mereka. Kita harus mencontohi ciri-ciri sebegini. Bak kata pepatah, “Malu bertanya, sesat jalan”. Dalam kehidupan ini, kita tidak seharusnya bersikap bodoh sombong kerana jika kita enggan bertanya, kita tidak dapat mempelajari daripada kesilapan kita.

Dia juga mendengar akan kata-kata dan arahan Mak Andeh. Dia tidak membantah apa lagi merungut. Dia sanggup keluar masuk hutan mencari mereka. Kita sebagai manusia biasa harus bertolak ansur agai tiada pertangkaran atau permusuhan akan berlaku. Ia juga menunjukkan cara-cara kita menghormati antara satu sama lain.

Justeru, kita harus menapis carite-carite yang dibaca ataupun ditonton agai kita dapat meraih yang terbaik daripadanya. Contohi yang elok, pelajari yang tersilap. Memang tepatlah seperti kata peribahasa Melayu, “Ambillah patinya, buangkan hampasnya”.




February 1, 2009
Perbelanjaan Seharian Saya
Saya diberi wang sebanyak dua puluh dolar seminggu untuk perbelanjaan sekolah. Wang ini, saya dapatkan daripada ayah. Saya tidak boros membelanjakan kesemua wang yang ada. Saya cuba berjimat sebanyak mungkin. Sebabnya, bukan senang bagi ayah untuk mendapatkan wang pembiayaan saya. Pada akhir minggu, saya menabung wang yang berlebihan. Dari situ, saya dapat mengumpul wang yang agak banyak sesampainya akhir bulan.

Wang perbelanjaan sekolah dikhaskan untuk membeli makanan dan sedikit barangan sekolah sahaja. Ayah saya memberi wang berlebihan untuk perbelanjaan lain. Jika saya keluar pada hujung minggu, ayah memberikan wang sebanyak lima dolar sehari. Wang ini untuk kecemasan, sekiranya terjadi sesuatu yang tidak disangkakan. Walaupun kesenangan yang ayah bentangkan, saya tidak mengambil kesempatan untuk meminta wang secara keterlaluan hanya untuk membeli barangan yang tidak perlu. Saya tidak mahu ayah bekerja sehari suntuk untuk mendapatkan wang hanya buat saya memboros. Situasi sebegitu diberi nama 'tidak berhati perut'.

Tentu ada budi yang harus dilakukan sebelum mendapatkan wang. Sejak ibu tidak lagi tinggal bersama, saya sering menolong ayah mengemas rumah dan melakukan kerja-kerja yang dahulunya disudahkan ibu. Pada setiap hujung minggu, saya melakukan kerja rumah seperti menyapu, melipat kain baju, mencuci baju dan menggosokkan baju-baju buat pemakaian mingguan. Pada hari sekolah pula, saya hanya berdaya memasak, mengemas dapur dan menjaga kebersihan rumah. Sudah tentu kerja-kerja sebegini menjejaskan waktu saya menghabiskan kerja sekolah. Namun, tiada orang lain yang saya sayangi lebih dari ayah kandung saya sendiri.

Setelah lelah menghabiskan kerja rumah, ayah memberikan apa yang saya perlu, wang. Saya menghindari daripada menggunakan wang yang telah ditabung. Ibu menamakan tabung saya 'tabung khinzir'. Kenapa? Ibu berkata, 'Apabila memasukkan wang ke dalam tabung tersebut, tidak usah memegang tabungnya. Tetapi apabila hendak mengeluarkan wang yang ada untuk berbelanja, harus dibuka tabungnya, justeru dipegang 'khinzir itu', ' Dengan pengajaran sebegitu, saya sering mengingatkan diri saya agar tidak mendatangkan dosa dengan mengeluarkan wang tabungan untuk berbelanja sesuka hati.

Untuk membelanjakan wang yang didapati sebaik-baiknya, saya mencatat perbelanjaan saya. Justeru, saya dapat menjejaki perbelanjaan saya setiap minggu. Kadangkala saya berbelanja secara berlebihan, kadang kala berkurangan. Saya cuba sedaya upaya untuk berbelanja hanya buat pokok, tanpa bunga. Itulah perbelanjaan seharian saya.